20140926

PROGRAM BERKAYAK SUKASUKA ISLAND.

Anda ingin berkayak tetapi tiada program yang ohsem untuk disertai? Atau anda tercari-cari aktiviti outdoor yang santai dan tenang? Atau anda ingin lari dari kekusutan kota dan berehat di pulau yang indah? Kami ada solusi untuk anda! 

Footsteps Outdoor Gear telah menyusun pelbagai ekspedisi berkayak yang menarik sepanjang tahun di Sukasuka Island Tasik Raban, Perak. Sila rujuk jadual trip yang mereka telah sediakan untuk anda dibawah. Sila klik imej untuk zoom:

KLIK IMEJ UNTUK ZOOM.
        

20140925

BERAKIT DI TAPAH, PERAK.


Pada 21 September yang lepas, Ohsem Kayak telah dipelawa oleh Pusat Gemilang Warisan Jong untuk mencuba aktiviti berakit sejauh 10km di sungai Batang Padang, Tapah, Perak. Ianya satu pengalaman yang sangat ohsem dan lain dari yang lain.

Saya tidak sempat (lupa) mengambil gambar semasa disana. Yang dapat dirakam hanya video sewaktu berada di atas rakit. Sekurang-kurangnya dapat memberi anda sedikit idea bagaimana rasanya mendayung rakit buluh yang diikat dengan tiup tayar lori. Jom tonton:


Aktiviti berakit anjuran Warisan Jong ini memang berbeza dari aktiviti air yang lain seperti berkayak atau water rafting. Berakit sebegini terasa lebih 'back to nature' dan lebih dekat dengan alam semulajadi. Jika berminat boleh layari laman web mereka untuk info lanjut:

www.warisanjong.com.my

  

20140923

BERKAYAK & BERSANTAI DI TASIK KUNDANG.


Tasik Biru Kundang adalah sebuah tasik yang cantik terletak berdekatan Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang, Selangor. Tasik ini unik kerana mempunyai sebuah pulau di tengah-tengah. Saya pernah dengar pelbagai cerita mengenai tasik Kundang seperti kedalamannya bagaikan apartment 17 tingkat, pulaunya berhantu, ada ikan patin sebesar kereta kancil dan lain-lain. Betul tak betul saya malas komen. Namun biasalah, masyarakat dan kisah dogeng sememangnya tidak dapat dipisahkan.

Mengikut sejarahnya, tasik Kundang adalah bekas lombong. Ia telah menagih banyak nyawa dek kedalamannya. Namun ada sesetengah kawasan agak cetek dan menjadi tempat orang bermandi-manda serta berkelah di hujung minggu.

Ini pertama kali saya datang ke tasik Kundang untuk berkayak. Sebelum ini pernah lalu sahaja. Tidak pernah singgah. Kawasan tasik Kundang pada hari ini agak lengang. Jam menunjukkan pukul 12 tengahari dan matahari betul-betul menganas.  Saya terpaksa membasahkan kepala berkali-kali bagi mengelakkan heat-stroke. 

Seperti biasa saya berseorangan bersama 'girlfriend' baru saya, Laura (nama yang diberi kepada kayak inflatable K2 Explorer). Saya juga membawa bersama paddle Tribord (KT100) untuk pertama kalinya. Dalam 10 minit, Laura telah siap untuk berlayar.

Mengepam inflatable kayak adalah satu senaman :p
Isn't she beautiful
Saya bercadang untuk bersantai di pulau tasik Kundang disamping berteduh dari kepanasan matahari. Saya mengelilingi pulau tersebut untuk mencari port yang paling strategik untuk memasang flysheet. Kriteria 'port' yang saya cari mestilah cantik, ohsem untuk berenang/mandi-manda dan tidak menghadap kawasan orang berkelah. Saya mahukan privacy.

Pencarian 'port baik punya' bermula.
Port ini memang menarik sebab daun-daun pokok berjurai hingga ke permukaan air berbentuk kanopi.
Daun-daun pokok menjadi atap kanopi. (Gambar ini saya ambil sebelah petang)
Sayangnya port ini dipenuhi rumpai air. Cantik tetapi agak 'seram' untuk berenang.
Akhirnya saya memilih satu kawasan yang saya kira menarik untuk bersantai. Airnya jernih dan mempunyai kawasan landai untuk saya membentangkan groundsheet.

Air jernih. Tiada rumpai air.

Cetek di tebing. Tidak menghadap kawasan orang berkelah.
Lupa nak bagitahu. Trip ini adalah trip survey kawasan. Saya tidak bercadang untuk bermalam disini. Mungkin trip akan datang saya akan bermalam. Oleh itu, saya hanya membina tempat berteduh yang sangat basic tanpa menggunakan walau seutas tali.

Mahligai sementara hamba. Wife kata ini macam khemah seludup pendatang asing. Erk..
Flysheet disangkut pada ranting pokok.
Paddle jadi tempat sidai baju. Takpe. Warranty 2 tahun. hehe
Laura diikat pada sebatang kayu.
Usai sahaja membina tempat berteduh, saya segera terjun ke tasik untuk menyejukkan badan. Tasik ini sukar diduga. Ada tempat yang sangat cetek dan tiba-tiba terus dalam hingga melepasi kepala. Dinasihati sentiasa berhati-hati jika ingin berenang di sini.

Pukul 2.30 petang, perut mula bernyanyi lagu keroncong. Saya telah membeli nasi bungkus di sebuah warung Sg. Buloh sewaktu menuju ke mari. Makan sewaktu berekspedisi sememangnya lebih menyelerakan dari biasa. Apatah lagi semasa sedang lapar.

Nasi putih berlauk sambal udang, ayam gulai rempah dan sayur peria.
Matahari memang terik. Tetapi sesekali angin nyaman bertiup membuatkan rasa mengantuk. Disebabkan tasik Kundang bukan tempat terpencil, maka tiada masalah untuk ber'online. Sambil bersantai boleh berwhatsapp dan berfacebook tanpa gangguan talian.

Dalam pukul 4.30 petang, matahari mula redup. Saya membayangkan alangkah ohsem jika dapat menikmati teh panas sambil mengunyah biskut diwaktu sebegitu. Segera saya menjerang air untuk membuat teh panas 3-in-1. Setelah air mendidih baru perasan beg yang disi teh/kopi tertinggal di rumah. Aduhai. Kecewa tidak terkata.

Apa boleh buat. Makan biskut cicah air kosong sahaja lah.
Bag hammock dibuat bantal.
Sebenarnya trip ini bukan trip berkayak. Ia lebih kepada bersantai sambil refresh minda yang letih akibat kerja. Saya tidak sempat meneroka pulau tersebut. Saya hanya bersantai di 'mahligai sementara' saya itu hingga ke petang. Kebanyakkan masa dihabiskan dengan berbaring-baring.

Sewaktu berbaring itulah saya mendengar bunyi daun-daun pokok yang menutupi tanah berderap-derap bagai dipijak orang berjalan dari arah belakang. Bila saya mengintai di sebalik flysheet, tidak pula nampak sesiapa. Jenguk-jenguk baru ternampak seekor biawak besar merangkak tidak beberapa jauh dari kedudukan saya. Apabila biawak itu sedar kehadiran saya, segera ia memecut melarikan diri. Tidak sempat untuk saya merakam aksinya.

Pukul 5.30 petang saya bersiap-siap mengemas untuk pulang. Saya pastikan tiada sampah tertinggal di situ. Cintai alam sekitar. Jangan tinggalkan apa-apa kecuali tapak kaki. Saya berkayak sekejap sekitar tasik dan kemudian terus menuju ke daratan.



PS: Dalam trip pendek ini saya dapati udara di dalam kayak inflatable mengembang apabila terdedah kepada cahaya matahari yang panas. Jadi jangan terlebih pam sewaktu cuaca panas. Apabila cuaca sejuk, udara mengecut menjadikan kayak kelihatan kurang udara.

Dan paling tragis, skeg Laura (sirip di bawah kayak) telah hilang entah kemana ditelan tasik Kundang. Huhu. Redha je lah..