20170305

Basikal Lipat Baru


Alhamdulillah. Basikal lipat/folding bike baru sampai. Jenama Gammax, 24" wheel, alloy frame dan 24 gear. Saya beli secara online dari neocycle.com.my, antara kedai basikal online yang popular di Malaysia. Senang beli dari online. Tak perlu susah payah pergi kedai, angkut barang dan bawa balik. Just order dan barang akan sampai depan rumah. Jimat minyak kereta, tenaga dan masa.

Saya memilih folding bike kerana ia menjimatkan ruang. Ia juga mudah dibawa dalam bonet kereta berbanding basikal biasa. Saya tak pasti bagaimana prestasi basikal ini. Saya akan update di blog nanti setelah menggunakan folding bike ini dalam beberapa xpdc.

Sebenarnya saya beli basikal ini untuk tujuan touring (ekspedisi jarak jauh). Untuk touring, saya perlu pasang beberapa alat tambahan seperti pannier rack depan belakang, bag pannier, bar end, dan lampu depan belakang. Ada alatan saya beli dari China dan ada dari kedai tempatan. Untuk produk dari China, ia ambil masa untuk sampai ke Malaysia. Saya guna penghantaran melalui kapal, sangat murah tetapi lambat sampai. 

Harap pelawat blog ini dapat tunggu trip Osem Adventure seterusnya. Asyik ekspedisi berkayak sahaja, kali ni kita cuba ekspedisi berkayuh pula. Hehe. Jumpa lagi.
           

20170215

Ipoh Foldies Open Day 2017

KLIK IMEJ UNTUK PAPARAN BESAR

Pendaftaran dibuka bermula hari ini sehingga 20 March 2017. Ayuh pesikal pesikal basikal berengsel, daftar dan bersama-sama kami dalam acara tahunan ini. Istimewa tahun ini bersempena tahun melawat Perak 2017 dan Ipoh Cycle Fest 2017

Registration window is now open until 20th Mar 2017, mystery gift for the first 50 participants. Join us for an exciting event and experience in conjuction with Visit Perak Year 2017 and Ipoh Cycle Fest 2017. Perak will surprise you! A truly World of Wonders!

Where nature, culture, delicious food and warm people will take you through a journey to international heritage. Be enthralled by our natural beauty and surrender to a tranquil environment and enjoy exploring where your heart takes you.

20170203

Program untuk newbie outdoor survival


Program santai 2 hari 1 malam, sambil berkongsi ilmu basic outdoor dan survival. Sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia outdoor dan survival. Makan minum sendiri.

Khemah sendiri, boleh maklumkan kami jika tiada khemah.

Bayaran masuk dan tapak khemah Sg. Congkak boleh bayar masa nak masuk.

Kami akan menyediakan peralatan asas utk program seperti fly, compass, nota, fire kit, parang, first aid kit dan lain lain lagi.

Tarikh 18 -19 Februari 2017 

Apa yg akan dikongsi:

  • -basic outdoor
  • -basic survival
  • -knife handling and safety
  • -basic orienteering
  • -how to walk in the jungle
  • -basic knots and hitches
  • -bushcraft
  • -campcraft
  • -preparing your personal survival kit
  • -how to use survival kit
  • -jungle safety
  • -survival tips & tricks
  • -dan banyak lagi


RM25/pax
Kepada sahabat yang berminat nak sertai, boleh PM di FB:
https://www.facebook.com/RainforestSurvivalSciencePsychology

20170130

Camping di Sungai Kedondong

Dah lama saya nak berkhemah di sungai Kedondong. Walaupun ia terletak tidak terlalu jauh dari Kuala Lumpur, tetapi saya tidak pernah menjejakkan kaki di sana. Sungai Kedondong terletak bersebelahan jalan utama Batang Kali ke Genting. Jadi sehari sebelum cuti umum, saya mengajak seorang rakan untuk bercamping semalam di sana.

   Kami sampai di sungai tersebut pada pukul 9 pagi. Kawasan ini agak lengang pada waktu bekerja sebegini. Kami mula riki kawasan rekreasi tersebut mencari lokasi yang sesuai untuk pasang khemah dan gantung hammock. Walaupun kawasan ini dijaga oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), tetapi ada kawasan hutan yang padat dengan sampah, bagaikan seluruh sampah dikumpulkan di situ. Sakit mata melihat situasi sebegini. Ia menggambarkan mentaliti sebahagian masyarakat Malaysia yang pengotor dan tidak menjaga alam sekitar.

   Kami mencari pondok wakaf untuk bercamping kerana malas nak pasang flysheet. Lagipun sekarang musim hujan. Setelah puas reki seluruh kawasan sungai kedondong, saya memilih sebuah pondok wakaf yang lokasinya paling strategik. Walau wakaf ini kelihatan uzur, tetapi ia terletak paling terpencil berbanding wakaf-wakaf yang lain. Dan yang paling penting, ia betul-betul bersebelahan sungai. Saya mengantungkan hammock di tiang wakaf yang diperbuat dari simen, manakala rakan pula memasang khemah lipat di dalam wakaf.



   Tiba-tiba datang seorang lelaki mengatakan bahawa dia pekerja dari Majlis Daerah Hulu Selangor yang menjaga kawasan tersebut. Rupanya perlu ada kebenaran dari pihak Majlis jika ingin bermalam di sini. Kemudian beliau mengatakan untuk bermalam, ada bayaran dikenakan. Aduh, tempat awam macam ni pun ada bayaran rupanya.

   Cas bayaran yang dikenakan untuk bermalam adalah RM50. Tiada cas untuk kegunaan waktu siang. Kita juga perlu ada surat polis mengatakan yang kita bermalam di situ. Kami tidak ada surat polis. Beliau meminta tambahan RM50 untuk beliau pergi ke pejabat polis Batang Kali untuk mendapatkan surat tersebut. Walaupun saya agak sangsi dan was-was dengan kredibiliti lelaki ini, tetapi demi keselamatan saya hulurkan RM100. 

   Saya benci berkhemah yang dikenakan bayaran macam duduk chalet. Sekali lagi saya ulang, saya benci berkhemah yang dikenakan bayaran macam duduk chalet. 

   Apa-apa pun, redha sahajalah. Mungkin dengan duit tersebut, dapat membantu pihak MDHS menjaga kawasan Sungai Kedondong ini menjadi lebih baik.

Sungai Kedondong yang sangat dingin airnya.

Roti cicah kari ayam Adabi untuk makan tengahari.

Kehijauan hutan yang mendamaikan

2 awek saya yang sentiasa ikut bercamping.

Nasi goreng untuk makan malam. Botol air 5L menjadi lampu camping.

Semestinya tidur dalam hammock jauh lebih selesa dari tidur dalam khemah

   Suasana di Sungai Kedondong waktu malam dan awal pagi sangat sejuk. Sungainya juga menusuk tulang. Terketar-ketar badan masa mandi pagi di sungai ini. Dengar katanya sungai Kedondong mengalir dari Genting Highland. Mungkin kerana itu airnya sangat dingin.

   Pagi ini kami tidak memasak sarapan. Kami berjalan kaki ke warung nasi lemak ditepi jalan. Memang asyik dapat nasi lemak dengan ayam goreng berempah panas-panas di waktu pagi sejuk begini. Pakcik tokey kedai itu bertanya kami dari mana. Saya menjawab kami berkhemah dan bermalam di tepi sungai kedondong.

Pakcik itu kelihatan terkejut. Dia bertanya:

"Dua orang sahaja?"

"Ya, dua orang sahaja" jawab saya

"Berani ya.. Dulu ada sekumpulan budak muda berkhemah kat situ. Tengah malam diorang semua cabut  lari balik rumah sebab kena kacau makhluk halus" ujar pakcik tersebut dengan muka risau.

"......"

   Saya hanya gelak kecil. Rakan saya pula sambung makan dengan muka cuak. Tak pasti pakcik itu sekadar bergurau atau betul-betul serius.

  Selesai makan, kelihatan kereta dan motor tidak putus-putus memasuki kawasan rekreasi sungai Kedondong. Rupanya ramai datang berkelah pada hari cuti. Keadaan mulai sesak dan sangat merimaskan. Kami mengambil keputusan untuk pulang awal hari itu.

   Nota akhir, jika ingin bercamping di sana, sila buat surat polis dahulu. Dan jangan sekali-kali bercamping pada waktu cuti. Sesak macam pasar malam.. hehe
      

20170126

Bermalam di hulu Sungai Lepoh

Ini pertama kali saya sampai di sungai Lepoh. Tak rancang pun nak bermalam di sana. Cadangnya nak bercamping di sebuah sungai terpencil yang saya jumpa dalam google map. Tapi tak jumpa jalan. Aplikasi GPS telefon pula tidak tepat lantaran kurangnya line telefon. Semasa mencari line, terjumpa signboard kecil sungai Lepoh. Tak jumpa tali, akar berguna juga. So tukar plan.

Sungai Lepoh didereti dengan pelbagai chalet. Jadi saya pergi menghulu ke atas sehingga berjumpa beberapa pondok kayu. Ianya agak sunyi (mungkin kerana hari bekerja) dan letaknya betul-betul bersebelahan sungai. Apalagi, sangkut hammock dalam pondok, bentang tikar dan terjun sungai.

Tengah sedap berendam, tiba-tiba datang seorang pakcik meminta bayaran sewa pondok. Oh, ada bayaran rupanya. Sehari RM25. Jadi jika nak bermalam beliau kira RM50. Badan pun dah basah, hammock pun dah terikat, jadi bayar sahaja lah. Rezeki pakcik tu. Hehe

Sungai yang tenang mengalir

Nampak ke dasar. Level paras pinggang budak sekolah rendah.

Pondok tua ini masih mampu menampng berat tuan empunya hammock. Hehe

Makan tengahari, nasi briani kambing Brahmin. Makan dengan cili padi. Pergh..

Botol mineral + headlamp = lampu camping

Makan malam, sup kambing Adabi (kambing lagi). Cicah roti.. marvelous 

Pagi disahut bunyi air sungai di selang-seli ngauman motor penduduk kampung

Sungainya sejuk. Ikan-ikan kecil akan berkerumun bila kita mencecahkan kaki ke dalam sungai. Cuma waktu tengahari memang panas sebab tiada pokok yang menaungi pondok. Lokasi ini agak dekat dengan jalan raya.namun tak banyak kenderaan yang melalui jalan tersebut. 

Mengikut kata orang di sana, hari Sabtu dan Ahad penuh dengan pengunjung. Sangat sesuai untuk berkelah dengan famili ataupun sekadar bersantai. Cuma tidak terlalu natural kerana dekat dengan perumahan, chalet dan jalan raya. Saya tak pasti akan datang semula atau tidak. RM50 tu semalam.. Biarlah masa menentukan.

     

20170116

IPOH FOLDIES OPEN DAY 2017

Jika ada sesiapa berminat, boleh hubungi nombor tertera dibawah untuk info lanjut.
Klik imej untuk paparan besar