Dah lama saya nak berkhemah di sungai Kedondong. Walaupun ia terletak tidak terlalu jauh dari Kuala Lumpur, tetapi saya tidak pernah menjejakkan kaki di sana. Sungai Kedondong terletak bersebelahan jalan utama Batang Kali ke Genting. Jadi sehari sebelum cuti umum, saya mengajak seorang rakan untuk bercamping semalam di sana.
Kami sampai di sungai tersebut pada pukul 9 pagi. Kawasan ini agak lengang pada waktu bekerja sebegini. Kami mula riki kawasan rekreasi tersebut mencari lokasi yang sesuai untuk pasang khemah dan gantung hammock. Walaupun kawasan ini dijaga oleh Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), tetapi ada kawasan hutan yang padat dengan sampah, bagaikan seluruh sampah dikumpulkan di situ. Sakit mata melihat situasi sebegini. Ia menggambarkan mentaliti sebahagian masyarakat Malaysia yang pengotor dan tidak menjaga alam sekitar.
Kami mencari pondok wakaf untuk bercamping kerana malas nak pasang flysheet. Lagipun sekarang musim hujan. Setelah puas reki seluruh kawasan sungai kedondong, saya memilih sebuah pondok wakaf yang lokasinya paling strategik. Walau wakaf ini kelihatan uzur, tetapi ia terletak paling terpencil berbanding wakaf-wakaf yang lain. Dan yang paling penting, ia betul-betul bersebelahan sungai. Saya mengantungkan hammock di tiang wakaf yang diperbuat dari simen, manakala rakan pula memasang khemah lipat di dalam wakaf.
Tiba-tiba datang seorang lelaki mengatakan bahawa dia pekerja dari Majlis Daerah Hulu Selangor yang menjaga kawasan tersebut. Rupanya perlu ada kebenaran dari pihak Majlis jika ingin bermalam di sini. Kemudian beliau mengatakan untuk bermalam, ada bayaran dikenakan. Aduh, tempat awam macam ni pun ada bayaran rupanya.
Cas bayaran yang dikenakan untuk bermalam adalah RM50. Tiada cas untuk kegunaan waktu siang. Kita juga perlu ada surat polis mengatakan yang kita bermalam di situ. Kami tidak ada surat polis. Beliau meminta tambahan RM50 untuk beliau pergi ke pejabat polis Batang Kali untuk mendapatkan surat tersebut. Walaupun saya agak sangsi dan was-was dengan kredibiliti lelaki ini, tetapi demi keselamatan saya hulurkan RM100.
Saya benci berkhemah yang dikenakan bayaran macam duduk chalet. Sekali lagi saya ulang, saya benci berkhemah yang dikenakan bayaran macam duduk chalet.
Apa-apa pun, redha sahajalah. Mungkin dengan duit tersebut, dapat membantu pihak MDHS menjaga kawasan Sungai Kedondong ini menjadi lebih baik.
Sungai Kedondong yang sangat dingin airnya.
Roti cicah kari ayam Adabi untuk makan tengahari.
Kehijauan hutan yang mendamaikan
2 awek saya yang sentiasa ikut bercamping.
Nasi goreng untuk makan malam. Botol air 5L menjadi lampu camping.
Semestinya tidur dalam hammock jauh lebih selesa dari tidur dalam khemah
Suasana di Sungai Kedondong waktu malam dan awal pagi sangat sejuk. Sungainya juga menusuk tulang. Terketar-ketar badan masa mandi pagi di sungai ini. Dengar katanya sungai Kedondong mengalir dari Genting Highland. Mungkin kerana itu airnya sangat dingin.
Pagi ini kami tidak memasak sarapan. Kami berjalan kaki ke warung nasi lemak ditepi jalan. Memang asyik dapat nasi lemak dengan ayam goreng berempah panas-panas di waktu pagi sejuk begini. Pakcik tokey kedai itu bertanya kami dari mana. Saya menjawab kami berkhemah dan bermalam di tepi sungai kedondong.
Pakcik itu kelihatan terkejut. Dia bertanya:
"Dua orang sahaja?"
"Ya, dua orang sahaja" jawab saya
"Berani ya.. Dulu ada sekumpulan budak muda berkhemah kat situ. Tengah malam diorang semua cabut lari balik rumah sebab kena kacau makhluk halus" ujar pakcik tersebut dengan muka risau.
"......"
Saya hanya gelak kecil. Rakan saya pula sambung makan dengan muka cuak. Tak pasti pakcik itu sekadar bergurau atau betul-betul serius.
Selesai makan, kelihatan kereta dan motor tidak putus-putus memasuki kawasan rekreasi sungai Kedondong. Rupanya ramai datang berkelah pada hari cuti. Keadaan mulai sesak dan sangat merimaskan. Kami mengambil keputusan untuk pulang awal hari itu.
Nota akhir, jika ingin bercamping di sana, sila buat surat polis dahulu. Dan jangan sekali-kali bercamping pada waktu cuti. Sesak macam pasar malam.. hehe